Saturday 12 March 2016

Pengalaman Bersalin

Pengalaman Bersalin 

Hohoho. Dah lama menyepi. Berbulan-bulan. Buzy bebenor. Okeh. Kali ini, saya nak bercerita tentang pengalaman bersalinkan Aisyah Humairah puteri tersayang. 
Anak sulung saya ni, tak mahu keluar tepat pada masa yang doktor jangka. Nak duduk lama sikit dalam rahim ibu. Takut agaknya dengan dunia luar ni. Heheh.  Doktor pesan, kalau dalam masa seminggu dari tarikh yang dia bagi tu saya belum ada tanda nak bersalin, makanya dengan seikhlas hati perlulah saya tidur di hospital.
Masuk wad. Hospital kerajaan je tau. Hamba ini rakyat marhaen sahaja. Kurang mampu nak pi hospital swasta. Ahaks :) Dekat hospital, doktor cakap, kita tunggu sampai cukup 10 hari. Kalau kata belum bersalin jugak, pihak hospital akan bagi 'induce'. Kalau dah sampai tiga kali induce, jalan tak buka juga, makanya redhalah anda untuk dibedah. Ohmaiii. Operate!! Dalam hati tak payah cakap macam mana cuaknya perasaan tapi muka maintain. Muka toya. Mungkin sebab muka blur blur campur toya, puan doktor yang baik hati pun terangkan pasal induction of labor (orang kampung panggil 'induce' ja ) tu. Dia guna bahasa kampung je. Supaya senang faham. Hahaha. 

Katanya puan doktor, induce tu perlu untuk rangsang 'contraction' pada rahim ibu. Contraction ini keadaan rahim kuncup kembang kuncup kembang nak tolak bayi keluar ( ha. Bahasa kampung yang mudah nak paham). Tiga kali induce, kalau bayi tak keluar jugak, kena operate sebab takut bayi lemas katanya. Induce sangat perlu untuk ibu-ibu yang terlebih jangka/terlebih tarikh (overdue) sebab pakar kesihatan risau, uri kita tak mampu lagi nak kasi oksigen dan zat-zat dekat bayi. Kiranya macam uri tu dah tua. Dah tak boleh nak serap zat, vitamin dari badan ibu untuk di beri pada anak dalam rahim. 

Saya dapat induce kali pertama waktu pagi. Orang lain yang kena induce, beberapa jam lepas tu terus kena pergi labor room. Tapi saya boleh lagi lalalalala sebabnya tak rasa sakit pun. Tak dak contraction langsung. Lepas tu doktor suruh pergi periksa 'jalan'. (Laluan untuk bayi keluar) dah terbuka berapa cm. Malangnya tetap dua sentimeter (2 cm) macam sebelum ni. Tak dak perubahan. Doktor suruh tunggu sampai petang. Petang tu dah rasa sakit sikit-sikit. Tapi masih boleh gelak-gelak dengan ibu-ibu lain yang seangkatan. Diaorang suruh saya jalan banyak sikit. Pusing-pusing dalam wad. Bangun duduk bangun duduk untuk rangsang kelahiran. Saya ikut aje. Anak sulung kan, manala ada pengalaman lagi. Tanya mak dan ibu mentua, dia orang pun tak dak pengalaman kelahiran overdue ni. Dalam jam 5 petang, contraction makin kuat. Adik-adik jururawat yang sopan-sopan kiut-miut  ni tolong pasangkan satu alat dekat perut saya. Untuk tengok contraction tu kuat mana. Untuk dengar jantung anak. Itu yang buat ibu-ibu tak putus-putus doa supaya anak yang di kandung selamat di lahirkan. (Dengar jantung anak berdegup, rasa excited)

Nak dijadikan cerita, alat yang adik jururawat ni pasang dekat perut saya ni longgar, kejap-kejap turun. Kejap-kejap ke kanan, kejap-kejap bayi dalam perut gerak ke lain. Jadi bacaannya pun lari. Bila ketua jururawat tengok graf tak cantik, terus bebel dekat adik jururawat dan jugak saya. Katanya saya aktif sangat. Macam-macamlah. Tapi saya diamkan aja sebab tu 'kawasan' dia. Haha. Lepas tu ada pelawat datang (my beloved husband and my lovely sisters). Datang bawak nasi. Tapi sebab contraction macam dah kuat, saya tak lalu makan. Nak makan kurma sebiji pun rasa susah. Contaction yang saya alami tak macam ibu-ibu yang tak di induce. Selalunya contaction yang asli ( tanpa induce ) selang masa dia sekata. Contohnya, contaction dua minit, reda seminit. Yang saya ni contaction nya memanjang. Redala 10-15 saat. Contaction lagi. Masa ni dah tak da nak lalallala. Dah tak boleh nak senyum lebar. Adik saya Norlaila Arjon dengan kasih sayangnya urut-urut belakang (bahagian pinggang) untuk kurangkan sakit. Lepas solat Magrib, saya diminta masuk bilik doktor untuk cek 'jalan'. Alhamdulillah dah up cikit bukaannya. 3 sentimeter. Doktor cakap contaction dah makin kuat. Jadinya dia kasi saya ubat untuk buang air besar. Lepas tu makin kuat perut memulas.  Dok ulang alik pi bilik air. Buang air besar. Ada darah pekat-pekat keluar ikut 'jalan'. Tapi tak banyak. 
Lepas isyak, doktor suruh masuk bilik lagi. Kali ni doktor besarkan bukaan 'jalan' tu. Doktor risau sebab pangkal rahim masih tebal, keras lagi. Sepatutnya bila dah induce kali pertama (doktor masukkan ubat prostaglandins), akan akan tanda (pangkal rahim (servix) lembut dan menipis) - sebagai persediaan untuk bayi keluar. Malangnya saya tiada tanda-tanda tu. Dia bukakan 'jalan'. Besarkan jalan.Biar terbuka sikit. Guna jari la kan. Bukan peralatan besi ya. Memang tu satu-satunya cara nak ukur bukaan 'jalan'. 
Dalam jam 11 lebih saya di tolak masuk ke labor room. Bukaan jalan dah 6cm.

Masa ni time banjir besar dekat Kelantan. Jadinya, semua doktor pakar , doktor biasa, doktor praktikal, jurarawat sibuk sangat-sangat. Ramai orang nak bersalin. Bilik kosong tak ada. Jadi saya kena tunggu dekat koridor. Sakit pulak makin kuat. Dengar orang menjerit-jerit. Aduhh, tension. Masa ni suami saya belum sampai. 
Dok tertungu seorang diri. Jam 12, dapat masuk bilik. Alat yang sama dipasang dekat perut. Nurse pun tinggalkan saya pergi uruskan pesakit lain. Ibu di bilik sebelah dok jerit sakit-sakitla. Ibu di depan pun menjerit.  Sumpah seranah siap. Datang doktor praktikal dua orang. Saya cakap, nak kencing. Nak pergi bilik air. Dia tak kasi. Jadinya dia masukkan satu salur paip kecik, untuk saya kencing. Rupanya dia orang tak yakin nak sumbat salur tu dekat mana, tersalah cucuk. Saya cakap, berhentila dik. Sakit sangat ni. Akak rasa awak dah salah tempat cucuk ni. Memang perit. Adik-adik ni pun keluar. Nak cari doktor. Datang pulak doktor senior. Periksaan bukaan 'jalan'. Dia mintak izin nak pecahkan air ketuban. Dia masukkan satu pengait plastik dekat kemaluan (vagina ) untuk kait selaput ketuban dan pecahkannya.  Teknik ni di panggil amniotomy. Ingat-ingat lupa namanya. Salah satu teknik induction of the labor (induce- bahasa pasar). Banyak gila air nya. Doktor pun cakap air tu banyak. Lepas air ketuban dah pecah tu, Contraction makin kuat la. Masa ni husband dah sampai. Temankan saya dalam bilik tu. Kesian dia, tersengguk-sengguk tahan mengantuk. Mesti penat sungguh. Maklumlah suami saya ni peniaga kedai borong dan runcit. Memang dari pagi sampai ke malam kerja. Owhh. I Love You Mr Husband. 

Tapi masa tu rasa sakit sangat, jadi saya tak kasi dia tidur. Hahah. Nampak je dia tertidur, saya kejut. Buat ayat-ayat sedih. Rasa jahat pulak. Yang malunya, saya terkencing atas katil tu.  Memang tak boleh tahan. Cakap kat nurse, dia suruh tunggu doktor datang. Kita memang dah tak tahan. Makanya terkencingla hamba di situ. Suami saya jatuh kesian tengok isteri dia ni. Saya rasa nak nangis sebab tak da seorang pun kakitangan hospital yang tolong. Kami tak da pengalaman. Tak tahu caranya. Suami pun gosok kepala saya.  Mintak saya sabar. Sejam lepas tu baru doktor pelatih datang lagi. Kali ni dua orang doktor pelatih dan seorang doktor baru  tamat latihan. Diaorang tukar alas katil ( tisu tebal dan plastik). Sedih rasa. Dah sejam baru datang. Saya dah berendam dengan air kencing sejam dah. Lepas tu cek jalan lagi. Datang pulak nurse. Gaduh dengan doktor ni. Nurse cakap dah boleh teran. Bukaan dah sembilan cm. tapi doktor cakap belum, bukaan baru tujuh cm. Suami saya mintak diri. Pergi solat. Tenangkan hati. Saya tertido kejap. Haha. Sempat lagi. Penat sangat tahan sakit. Nurse mintak saya hidu gas untuk tahan sakit contraction tu. Saya tak mahu. Tapi apa yang saya perasan dia masukkan ubat ikut drip. Rupanya itu ubat Oxytocin. Ubat ni doktor kasi sebab proses kelahiran tu masih perlahan walaupun contraction dah kuat. Nurse cakap dalam masa 12-24 jam kalau saya belum boleh melahirkan , pembedahan caesarean akan dilakukan.   Tak boleh nak fikir dah masa tu. Yang saya ingat, saya dok istigfar tak berhenti dan doa supaya dapat tahan. Saya doa sungguh-sungguh supaya saya sabar. Supaya saya dapat tahan rasa sakit tu tanpa perlu jerit-jerit. Tapi rasa sangat sakit. Macam urat-urat dekat pinggang ni putus. Masa ni saya sedut jugak ubat untuk tahan sakit tu (gas pelali kot)
Tapi yang peliknya saya tak rasa pun sakit contraction tu berkurangan. 

Tiba-tiba terdengar orang sebelah menjerit. Cakap doktor bodoh. Aduhhla. Kenapala sampai gitu. Hati saya makin cuak. Doa lagi supaya tak keluar dari mulut dan hati perkataan-perkataan kasar. Saya perasan akak nurse tu tunggu saya. Dia dok pegang alat yang diletakkan dekat perut saya tu. Tersengguk-sengguk akak tu. Saya nak kejut, tapi kesian. Tengok jam dah pukul 5 pagi. Harapnya bersalin sebelum subuh sebab saya dah tak larat nak angkat badan. Sepanjang malam tu tak tahu berapa kali periksa bukaan 'jalan'. Sesungguhnya hamba redho. Dalam jam 5.05 pagi saya rasa nak meneran. 

Rasa yang macam nak terberak time sembelit tu.  Kepala sembelit. Haha. (Kotornya la perumpaan pun)
Tapi rasa tu bukan dekat dubur. Rasa tu dekat 'jalan'' dengan skala kesakitan beratus kali ganda. Nurse keluar panggil doktor tadi. Datangla semua tiga-tiga. Doktor mintak adik pelatih tolong saya buang air kecil. Opkos guna paip kecik macam tadi. Bila dia tengok adik-adik ni tersalah cucuk lagi, dia sekolahkan budak-budak tu kejap sambil tangan dia bergerak letak paip tu ditempat yang betul. Amik kau, banyak gila air kencingnya. Agak berbau. Doktor cakap ni tanda masa mengandung, kencing tak lawas. Katanya lagi penting untuk buang air kencing supaya senang nak meneran. Tiga kali teran tak keluar, kepala anak dah nak keluar tapi bila saya tarik nafas, kepalanya masuk semula.  Salah teknik kot. Nak tak nak terpaksala gunting sikit. Masa ni saya tak ingat ada contraction ke tak. Tapi tak rasa sakit sangat dah. Mungkin sebab dah tiga kali teran tapi baby tak keluar akak nurse tu guna siku dia tekan atas perut saya, bahagian bawah dada. Mungkin nak tolong saya beranak.  Doktor cakap, kalau lambat push, nanti anak lemas. Oh my Allah, dengar je dia kata gitu, saya teran sehabis daya. Betul-betul teran. Alhamdulillah kepala keluar. Doktor sambut kepala tu. Masa kepala anak keluar tu la suami saya masuk baru masuk semula dalam bilik. Dia punyala terkejut tengok anak dia keluar sampai terkaku. Besar mata dia tengok.  Ingat nak pengsan kat situ dah. Haha. Satu yang saya perasan, keluar je kepala, memang senang badan anak nak keluar. Ya Allah nikmatnya rasa masa tu. Dah lupa sakit sebelum ni macam mana. Yang saya tahu, sangat sakit tapi entahla. Betul-betul lupa macam mana. Nikmat Allah kasi :)
Tengok muka anak, terus lupa benda lain. Allahhhh, Alhamdulillah.  Rasa macam lepas hutang 50 juta. Rasa beban bertan-tan dekat bahu tiba-tiba hilang sekelip mata.  Tepat jam 5.10min pagi, maka lahirlah seorang puteri di hati kami, Aisyah Humairah. Inilah dia puteri hamba, dah 15 bulan berlalu



No comments:

Post a Comment